Image hosted by Photobucket.com
7:43 PM | Author: Pelaut
Satu Syawal di Lampeter Hall.
Titisan Perasaan Ibu Kesepian
7:31 PM | Author: Pelaut

Tarikh : 23/12/2004


Kata-kata hati memaksa tangan untuk memegang pen bagi jari-jemari menulis cita rasa kepingan hati pada malam sepi ini… Mungkin disebabkan desakan kerinduan yang tak terhingga; setelah setiap hari menilik wajah manis tersenyum di gambar. Aku merasakan semuanya bagaikan mimpi-mimpi manis yang disusuli mimpi ngeri… Kemudiannya aku bermimpi dengan mimpi yang aneh-aneh! Itulah erti kehidupan sebenarnya; bahawa di sebalik kepahitan ada manisnya, dan di sebalik kepayahan ada mudahnya.

Aku tidak tahu apa yang aku tulis ini merupakan surat kiriman atau warkah si ibu tua untuk anakanda yang jauh terpisah, yang tidak terhitung kilometer jauhnya; melintasi bukit, gunung, padang, sungai, lautan, dan kabus. Yang mana ianya tak mungkin aku tembusi untuk kudakap anakku itu….

Setelah aku merenung jauh detik masa yang telah berlalu… Kalau dulu, masa itu terlalu semput bagiku, langsung tidak memberi ruang bagiku untuk aku kosong-kosongkan masa… Bagiku, masa itu terlalu berharga dan amat bernilai yang wajib aku penuhi ruang-ruangnya.

Imbas kembali saat-saat anakku kecil-kecil… Ku tanam harapan yang tinggi di ubun-ubun anakku; solehah dan soleh aku hajatkan…

Gelora cubaan aku harungi… Aku kukuhkan nekad di hati bersama suami yang baik hati… Cita-citanya aku satukan. Kami perahkan tenaga sedaya upaya untuk mendapatkan rezeki. Rezeki untuk anak-anakku menuntut ilmu, sekalipun memisahkan aku satu demi satu sehinggakan kami sepasang hidup kesepian. Haruskan aku tangisi pada kesepian ini? Pastinya air mataku mengalir kerana aku seorang hamba yang lemah. Sesungguhnya, air mata yang mengalir ini, memperbanyakkan lagi syukurku pada Tuhan!

Ku renung nikmat-nikmat Allah yang Dia kurniakan kepadaku, kepada ahli keluargaku, kepada sahabat perjuanganku; tidak terhitung banyaknya.

Aku cukup bahagia dengan sahabat yang baik budinya.
Aku cukup bahagia dengan menantu yang soleh orangnya.
Aku cukup bahagia dengan anak yang bertakwa.
Aku cukup bahagia dengan suami yang pengasih lagi bertanggungjawab.
Aku cukup bahagia dengan ayah bonda yang beriman.
Aku cukup bahagia dengan jihad perjuangan kami.

In sya Allah Tuhan satukan kita di dalam syurga yang dijanjikan! Sesungguhnya Tuhan tidak memungkiri janji-Nya.

Di saat-saat sebegini aku sering didatangi panggilan yang mana anak-anakku meluahkan sayang rindunya padaku… Aku didatangi surat-surat kasihnya; (bagaikan dirinya yang tertegak berwajah sedih dan adakalanya berwajah riang dengan senyuman) berbicara di kertas hijau meluahkan isi hatinya.

Aku sentiasa berdoa akan kejayaan anak-anakku. Aku senantiasa mendoakan kemurahan rezeki untuk anak-anakku meneruskan pengajiannya. Moga Allah memberikan rezeki ilmu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat. Moga Allah melahirkan di kalangan kami zuriat yang soleh solehah dan baik-baik. Amin..! Amin..! Amin...!

Aku senantiasa menanti kepulanganmu.
Aku senantiasa rindu; serindu-rindunya.
Aku senantiasa menanti kehadiran cucu-cucuku. Cucu-cucuku itulah bintang-bintang yang mengerlipkan hidupku.

Mak yakin kamu semua bersyukur di atas nikmat yang engkau perolehi. Maka dengan itulah kamu bertungkus lumus menguatkan semangat sekalipun berpisah dengan suami tercinta dan Mak.

Mak mengengsot dengan kaki yang patah ini.. mak redha dengan takdir ini. Mak tak tangisi patahnya kaki.. Mak akan menangis apabila anak Mak berputus asa. Patutkah kamu berputus asa setelah menggunakan masa yang begitu panjang? Dan patutkah kamu berputus asa setelah kamu menerima pengorbanan yang begitu banyak dari segenap lapisan guru, keluarga, dan juga diri kamu sendiri??!!

Kamu memeras otak-otak kamu mengisi ilmu. Mak kagum dengan kesungguhan kamu semua.

Terima kasih di atas kasihmu. Semoga kita semua mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin… Amin… Amin!

Hasnah
Jam 2.29 malam, Malaysia.
10:22 AM | Author: Pelaut
http://parti-pas.org