Nur
7:40 PM | Author: Pelaut
Cerpen ini direka khas utk majalah AL-ITQAN milik MAAHAD DARUL QUR'AN, MASJID RUSILA, MARANG TERENGGANU. Juga tanda ingatan kepada kawan-kawan tahun akhir semasa di Rabi' Thanawi iaitu 74 org dan yg paling istimewa ialah DEQ MA, member persatuan pelajar aku dan merangkap rakan se daerah; kemaman. Ia juga istimewa utk 7 org sekawan yg berada di EIHS, LAMPETER dan MAYA ARABIEY.
Moga semua terhibur dengan cerpen yang dhaif ini. Sesungguhnya cerpen ini mengingatkan aku ketika berada di dlm zink berkarat itu dulu..!!!!

NUR

Tidur, satu perbuatan yang payah untuk aku lakukan pada saat ini kerana dua mata ini tidak mahu bekerjasama denganku. Letih ku memaksa. Begitu degil dua mata ini menurut kata Abi supaya aku tidur awal. Abi? Diakah ayahku? Abi ayahku?? Otakku yang sememangnya pantas bekerja dengan lajunya bekerja merangka soalan. Bagaimana esok? Bagaimana lusa? Bagaimana tulat?
Aku mencari-cari jawapan. Arrgghhh… sukarnya meramal. Ku pandang sekeliling. Malap. Ah.. suasana bilik ini lebih jelas daripada masa depanku, esok hari! Perasaan cemas menguasai diriku. Bersediakah aku?
"Inilah Umi, Siti Zulaikha". Abi memperkenalkan ‘Umi’ kepadaku. Aku menyambut foto 6’ x 4’ yang diunjuk. Ku tilik wajahnya. Manis. Menampakkan sifat keibuannya yang tersendiri. Ku tilik lagi mencari-cari agar ketemu irasku. Mataku merenung mata Umi. Tidak, bukan di situ!
"Ayah Long dan Mak Cik dah bertolak ke KLIA". Ku alih mataku ke mata Abi. Di situ ku nampak irasku. Ya, mataku adalah mata Abi!
"Tiket flight kita jam 9 pagi". Ku pandang sekilas pada Orient di tangan. Satu jam lagi! Debaranku makin menyakitkan dada. Aku bangun dari tempat dudukku di kerusi meja makan tanda faham akan maksud pemberitahuan Abi.
"Habiskan air susu tu. Tak baik membazir. Allah berfirman, orang yang membazir adalah sahabat syaitan". Abi bersuara tegas menegah aku membiarkan cawanku bersisa. Aku mengangguk dan menurut katanya.
Susu- bukan minuman kesukaanku! Ketika Abi bertanyakanku tadi, air apa yang aku mahu dan aku meminta Nescafe’, diterangnya tentang bahaya kafein dan kesan kafein kepada tubuh badan. Dihidangnya susu kepadaku tanpa aku memesannya. Sekarang dikatanya pula orang yang membazir itu adalah sahabat syaitan. Lagak Abi tak ubah seperti doktor dan ustaz. Siapakah Abi?
Aku mengenakan pakaian labuh itu ke tubuhku. Cantik. Punya sulaman di setiap hujung lengannya dan di sepanjang bahagian tengah. Aku pernah melihat pakaian sebegini sebelum ini. Seingatku, di butik kawan Opah.
"Nur!" Seruan Abi memanggil. Ku bukakan pintu untuk Abi. Di belakangnya tersengih nenek berusia separuh abad. "ini Nenek Najihah. Dia jiran kita. Dia akan tolong Nur bersiap. Ok?" Aku bukanlah sang pengantin untuk dibantu dalam berdandan tetapi Abi bagaikan maklum dengan kepayahanku pada saat ini.
"Itu adalah pakaian rasmi Nur" Abi menunding jari ke arah pakaian labuh yang berada di tanganku. Pakaian rasmi?
Aku menyalami tangan Umi dan mengucupnya. Umi memelukku. Kejap. Erat. "Alhamdulillah, Allah selamatkan kita nak," Umi berbisik perlahan di telingaku. Suara yang pernah ku rindui itu begitu syahdu kedengaran. Alangkah lenanya tidurku jika suara inilah yang membacakan kisah Cinderella setiap kali sebelum mataku terkatup rapat pada malam hari. Lebih indah mimpiku dengan suara itu daripada suara Opah yang amat ku benci terutamanya setiap kali mengeluarkan ramalan-ramalan si peramal peribadinya.
Dahiku dikucupnya. Terasa hangat kasih sayangnya. Bakal hilangkah kehangatan ini dalam sedikit masa lagi? Persoalan itu membawa mataku ke arah matanya. Ingin ku cari jawapannya di situ walaupun aku sedar soalan itu tidak didengari Umi. Pancaindera melihat kami bertentangan. Benar, tiada irasku di situ. Namun, matanya itu galak memancar. Memanah dan menikam kalbuku. Kepingan dagingku itu bergetar. Berdebar dengan hakikat yang bakal berlaku! Melihat kekakuanku, Umi tersenyum. Irasku di situ!
"Allah Maha Pemberi Rahmat. Kerana rahmat-Nya, Umi selamat bergelar Hajjah. Kerana rahmat-Nya, Nur terselamat daripada insiden kemalangan jalan raya." Suara keibuan Umi mematikan suapanku. Ku pandang wajah Umi. Ku lihat dia tersenyum. Ingin aku menunjukkan iras persamaan kami kepada Umi namun terasa begitu payah.
"Kerana rahmat-Nya, Abi masih bersama dengan kita. Moga kecaman terhadap Abi akan lenyap dengan kudrat-Nya dan moga nikmat bahagia yang kita kecapi pada saat ini akan berkekalan". Aku terkedu dengan penambahan Umi.
"Umi senantiasa berdoa di depan Kaabah, moga kita bertiga tidak akan bercerai". Kalimah ‘kita bertiga’ menyayukan hatiku. Layu terkulai kerana kasihankan Umi dan diriku!
"Umi tidak akan membiarkan sesiapa sahaja yang cuba menceraikan kita bertiga. Umi cuma ada Abi dan Nur. Sewaktu dapat makluman mengenai insiden kemalangan Nur di jalan raya, Umi…." "Siti..!" Abi memotong cakap. Ku pandang wajah serba-salah Abi. Tampak jelas di wajah tegasnya rasa keserba salahannya. Pada saat itu, aku meletakkan segala kesalahan di bahu Abi. Zalimkah aku?!
Aku berlegar-legar di kutub khanah yang sederhana besar itu. Buku, makalah, dan akhbar tersusun rapi. Nampak kemas, menarik, selesa, dan sedikit mewah. Keadaan sebegini mampu menenggelamkan pembaca dengan bahan bacaannya. Ku mencari-cari jika terdapat buku karangan H.M Tuah Iskandar. Tiada. Semuanya buku berbahasa Arab dan berbentuk keagamaan.
Rak yang berlabel ‘Nur’ menarik kakiku ke arahnya. Aku menarik keluar sebiji buku yang sederhana tebalnya dan membeleknya tanpa minat. Lenguh berdiri, aku mengambil tempat duduk di kerusi yang menghadap monitor komputer. Ah.. aku terpaksa menghabiskan masa bosanku dengan buku bab keagamaan yang tak pernah ku sentuh sebelum ini.
"Buku apa yang Nur baca?" Umi mematikan pembacaanku. Entah bila Umi masuk dan berada di belakangku. Aku langsung tidak menyedari kehadirannya. "Politik Islam" jawabku di dalam kejutan yang masih berbaki. Ku lihat Umi tersenyum. Lebar senyumannya. "Siapa pengarangnya?" soal Umi. Aku menjadi sangsi dengan pertanyaan Umi. "Dr. Abdullah Yusuff," jawabku setelah melihat nama di kulit buku. Abi?
"Nur nak minum air apa? Biar Umi buatkan". Otakku berfikir, menimbang-nimbang antara keinginanku dan tegahan Abi. "Susu," pintaku separuh mengalah. "Wah, minuman kesukaan Nur, Nur tak lupa, ya? Umi ingatkan Nur tak ingat segalanya!" ku lihat wajah gembira Umi. Dia betul-betul gembira!
"Nur, telefon!" Umi memberitahu dari luar. Telefon? Aku bergegas membuka pintu. "Deq Ma, kawan baik Nur telefon," Umi memberitahu. Deq Ma? Kawan baik?
"Umi nak ke usrah dan ke pejabat. Abi tak balik lagi dari pejabat penerbitan. Umi pergi dulu, sayang".
Umi mengucup dahiku dan berlalu pergi. Ah, sayangnya Umi akan Nur!
Aku mengangkat ganggang telefon dengan perasaan yang sarat dengan debaran. "Hello," bergetar suaraku. "Nur, Assalamualaikum!" Suara ceria di talian itu memberi salam. Ah, sayangnya Deq Ma akan Nur!
Abi membantu aku mengeluarkan beg dari bonet kereta. Inikah DQ? Aku memandang sekeliling. Semuanya dipagari zink. Di pintu utama, kelihatan ramai budak-budak perempuan. Mereka semuanya tersenyum memandang ke arahku. "Nur!!" mereka melambai. Dengan kekok, aku membalasnya. Wah.. seperti bintang filem aku ketika itu!
Tatkala aku sampai di muka pintu utama, mereka berebut-rebut bersalaman denganku. Ada yang memelukku. Ada yang menyatakan rindu akanku. Aku tersenyum nipis. Segan dilayan begitu. Sambutan mereka begitu hangat. Betapa sayangnya mereka akan diriku. Ah, bukan aku tapi Nur! Tapi, bukankah Nur itu adalah aku??
"Kalian semua sedang bergotong royong?" soal Umi apabila keadaan sudah reda. Mereka mengangguk. Gotong royong? Bagusnya mereka!
"Umi balik dulu. Jaga diri baik-baik." Aku mengiyakan pesanan Umi dengan menentang matanya. Panahan pandangan matanya itu menggegarkan debaranku. Umi, Nur takut! Nur!!
"Nur!!" Aku mengalih pandanganku ke arah jeritan suara yang menyeru namaku. Seorang budak perempuan sawo matang berlari mendapatkanku. Itukah Deq Ma?
"Rindu la kat kawan," ujarnya di hujung tawa. "Deq Ma, tolong tengok-tengokkan Nur, ya.. Cik Siti balik dulu. Ok, Assalamualaikum".
Aku menyalami tangan Umi sebelum membiarkan Umi pergi. Di kejauhan, Abi melambai tangan. Tanda ucap selamatkah? Abi!! Nur!!!
Memulakan hidup di DQ bagaikan memulakan langkahan kaki yang pertama selepas lumpuh. Payah! Tapi … ada suatu perasaan yang dinikmati hatiku ketika berada di situ terutamanya ketika di kelilingi oleh kawan-kawan Nur - bahagia. Nikmatnya nikmat itu!
Aku duduk menyandar ke dinding bilik. Mataku dilepas bebas merayap ke sekeliling bilik. Aku memerhatikan satu persatu dan kemudiannya menggeleng kecil. Kemudahan di sini terdapat serba kurangnya. Tapi pada muka setiap pelajar, aku saksikan keceriaan. Bagai tiada masalah yang menggigit diri mereka. Ku melihat mereka senantiasa gembira.
"Nur…!" Deq Ma dan Cah Li menghampiri aku yang sedang ralit melayan mata yang dilepas bebas. Aku menyedekahkan senyuman. "Nur.. kita orang datang ni ada hajat!" Ujar mereka dalam tawa yang memanjang. Aku terdiam. Lama aku terdiam. Melihatkan aku terdiam, Cah Li dan Deq Ma berubah wajah. Ketawa mereka hilang. "Ada apa?" Aku bertanya sebaik sahaja mereka ingin berlalu pergi. "Tak ada apalah…" rendah suara mereka kedengaran. Aku berdiam diri. Panik!
Aku memicit kepala yang meragam. Pening! Tak ada satu pun yang dapat aku fahami daripada subjek tatabahasa Arab itu. "Sakit?" Syair Syahdu yang berada di sebelahku bertanya. Suaranya berbaur sedikit cemas. Aku menggeleng dan kemudiannya tersenyum, tanda ucap terima kasih kerana mengambil cakna akan diriku.
Aku menekup muka dengan kedua tapak tanganku untuk merehatkan fikiran. Sebentar kemudian, aku membuka tekupan mukaku apabila kelas yang tadinya senyap berubah menjadi bising. Aku sedikit terpinga apabila masing-masing semuanya meluru ke arahku dan mengerumuniku. Apa dah jadi?
"Apa dah jadi? Teruk ke sakit Nur tu?!" Terdengar suara cemas Deq Ma dari luar kelas. Tampak di mukanya perasaan bimbangnya. Mereka bimbangkan Nur!
"Tak ada apa. Nur cuma pening-pening lalat. Nur tak faham apa yang ustazah ajar," aku memberi sebab. "Nanti terbanglah lalat tu". Cah Li memecahkan ketawa penghuni kelas.
Aku mencongak-congak sendirian. Perlukah aku bertanya? Deq ma berkelakuan baik terhadapku. Dia menelefonku bertanyakan khabarku di rumah. Menyambut kedatanganku. Membantu aku mengenali bilikku, DQ, dan kawan-kawan. Bergegas mendapatkanku tatkala mendengar berita buruk tentangku. Cah Li juga begitu. Selalu mencipta lawak dan menyebabkan aku tidak terasa terasing berada dalam golongan mereka. Perlukah aku?
Selepas waktu makan tengahari, aku memberanikan diri menuju ke kelas, mencari kelibat Deq Ma dan Cah Li. Di hujung kelas Rabi’ Thanawi Balqis, kelihatan mereka berdua sedang rancak berborak. Entah tajuk apa yang sedang diperkatakan. Tentang akukah?
"Assalamualaikum.." Aku memberanikan diri menegur mereka. "Waalaikumussalam". Mereka kelihatan tercengang. "Sorry mengganggu". Aku mengambil tempat duduk di hadapan mereka. "Petang semalam, kalian ada cakap yang kalian berdua ada hajat. Hajat apa? Kenapa kalian terus pergi tanpa bagitau hajat tu kat saya? Ada apa-apa yang tak kena?" Aku mengajukan soalan. Laju dan bertubi-tubi. Mereka saling berbalas pandang bagai kepayahan untuk menjawab.
Setelah agak lama suasana membisu, Cah Li bersuara, "Kami… kami sebenarnya terkilan.." Terkilan?
"Terkilan? Tak perlulah berkias dengan saya. Kalau tak puas hati dengan saya atau saya ada buat salah, cakap sajalah," aku berterus terang menyatakan pendirian hidupku yang ku bina hampir 19 tahun itu.
"Nur… Nur tak macam dulu lagi. Kami tahu yang Nur kehilangan ingatan. Kami dah pun cukup gembira Nur mengenali kami semula. Tapi kami tak menyangka sikap Nur pun boleh berubah". Berubah? "Berubah? Sikap saya berubah? Boleh explain tak?" Aku semakin rancak bertanya. Bertanya untuk mengenali Nur!
"Dulu, Nur lawak orangnya. Kalau kami buat lawak, Nur akan sambung lawak kami. Nur banyak mulut. Kalau bercakap tak reti nak berhenti. Nur jugak lincah". Aku semakin gelisah. Gebar yang menutupi sebahagian tubuhku, ku tarik hingga menutupi mukaku.
"Kami tak salahkan Nur apatah lagi takdir". Ya, Abi pernah berkata seperti itu. "Biarlah kenangan Nur yang dahulu hilang, kami 72 orang ini akan cipta semula kenangan antara kita dalam tempoh masa yang berbaki ini". Aku membuka selimut. Lemas! Ku pandang Yan-t yang menyebelahi tempat tiduranku. Lena tidurnya. Begitu juga T-kah yang menyebelahi kiriku.
Kenangan? Hatiku mendesak ingin mengetahui. Di ruang mataku, terbayang album yang berada di dalam almariku. Perasaan ‘ingin’ memaksaku bangkit dari pembaringanku.
Album yang tersusun di antara susunan buku itu ku tarik keluar. Aku membawanya ke bawah cahaya lampu. Di helaian hadapan, terpampang foto berukuran 8A. Nur! Eh, tidak. Aku!
Ku teliti matanya. Di situ ku nampak mata Abi. Ku teliti pula lirikan bibirnya. Di situ ku nampak senyuman Umi. Gaya duduknya dan senyumannya menggambarkan dia seorang budak yang lincah. Benar kata Cah Li!
Sedang ralit aku mempelajari tatabahasa Arab daripada Deq Ma dan Asmaa’, Da Zek memberitahu Abi datang melawat. "Biasanya Umi Nur yang datang melawat Nur," komen Da Zek. Benarkah?
"Alamat kiamat ke, Da oii?" Deq Ma mengusik. "Tak la. Heran jugak aku," Da Zek mengomel lagi. "Da Zek dah naik heran..!!!" jerit Cah Li mencelah dengan mengajuk suara Aziz Satar dalam filem Pendekar Bujang Lapuk. Kelas menjadi gamat.
Aku menggeleng kecil. Mereka tidak boleh duduk bersama dalam keadaan diam. Ada sahaja cerita lucu yang dikeluarkan. Usik mengusik menjadi satu permainan. Bagaimana kalau ada Nur? Tentu dunia ini menjadi lebih gamat!
"Nur study dengan kawan tadi". Aku memberitahu setelah Abi bertanyakan persetujuanku untuk memasukkan aku ke kelas tambahan bimbingan agama. Abi arif akan ilmu agamaku tetapi Abi tidak punya kearifan akan Intelligent Quotient (IQ) milikku! Abi tidak tahu yang aku dapat mengenali 72 orang kawan-kawanku dalam masa dua hari. Kerana IQku jugalah Opah akhirnya mengalah denganku. Ah, sejauh manalah manusia boleh hidup dengan khurafat ciptaan manusia yang jahil!
"Bagaimana dengan exam Syahadah Rabi’ Thanawi? Tinggal tiga bulan sahaja lagi". Abi masih ragu-ragu dengan keupayaanku. "Nur ada 72 orang kawan di sini. Mereka semua tak berat tulang," jawabku meminta Abi mengerti kehendakku. Aku Cuma ada tiga bulan sahaja lagi untuk bersama kawan-kawan. Situasi hidup bersama mereka tak pernah ku rasai sebelum ini. Aku tidak mahu kehilangan nikmat ini walaupun sesaat. Janji Deq Ma dan Cah Li telah meyakinkan aku untuk mengambil tindakan menolak pelawaan Abi.
Abi kelihatan mengalah. "Abi akan mengupah seorang ustazah untuk memantau perkembangan Nur. Syahadah tu penting bagi Nur dan Umi. Jangan memberati kawan-kawan Nur. Mereka juga punya tugas". Abi meninggalkan pesan. Aku membenarkan pesanan Abi.
"Kau anak yang keras semangat," ujar Abi sebelum berlalu pergi. Benar ujarmu itu wahai Dr. Abdullah Yusuff. Tahukah Doktor siapakah yang telah membentukku? Duniaku! Duniaku yang membentukku.
Waktu berlalu mengikut masa. Genap sudah sebulan lamanya aku berada di DQ. Selama itulah aku menikmati nikmat yang tak pernah aku dapat nikmati. Malah ianya adalah haram untukku. Adakah ianya masih haram untukku? Ah, persetankan khurafat itu! Tapi… adakah berdosa aku menikmati nikmat ini yang sebenarnya nikmat ini adalah hak milik orang lain?
"Nur!!!!" suara cemas menyeru namaku. "Umi Nur jatuh pengsan kat office tadi. Abi Nur ditangkap kerana buku politiknya, ‘POLITIK ISLAM’ tu!"
Aku menyuakan air suam kepada Umi. Umi menggeleng lemah. Aku meletakkannya kembali di atas meja. Ku renung mata Umi. Kuasa panahan matanya yang menyentap hatiku tetap ada di situ walaupun matanya itu berair jernih. Masihkah ada peluang untuk aku melihat mata Abi yang punya iras dengan mataku? Ku alih pandanganku ke bibir Umi yang bergerak-gerak bagaikan ingin menyatakan sesuatu. Irasku masih tetap kekal di situ.
"Nur.." seru Umi perlahan. Aku merapatinya. Aku tahu, Umi perlukan Nur pada tika ini. Ya, perlukan Nur!
"Tabahnya kau nak… tak ada walaupun setitik daripada air mata Nur yang keluar daripada tubir mata Nur. Umi malu pada Nur." Umi mencemaskan aku. Ya, benar kata Umi. Zalimkah aku? Abi ditangkap. Abi mungkin dipenjarakan. Aku tidak tahu apakah jenis perasaanku ketika ini. Kenapa aku tidak merasa perasaan yang dirasa oleh Umi pada saat ini? Abi? Tidak!! Dia bukan Abiku! Tapi… bukankah Abi Nur Abiku juga? Benarkah?
"Nur… katakanlah sesuatu kepada Umi, nak.." Umi meminta aku menyatakan sesuatu! Nur, tolong aku! Umi meramas tanganku. Kasih sayangnya terasa hangat. Sayang sangatkah Umi akan diri Nur? Batinku mendesak kuat supaya mengetahuinya. Aku mahu tahu!
"Umi…" seruku perlahan. Ku mula merangka soalan. Umi tersenyum payah. Melihatkan Umi tersenyum, aku memberanikan diri. "Antara Abi dan Nur, siapa yang paling Umi sayang?" aku menyoal dengan suara yang payah dan tertahan-tahan. Umi diam. Bergetar hatiku menanti jawapan Umi. Umi, jangan siksa hatiku!
"Nur adalah nur mata Umi…" Sah, Umi sangat sayangkan Nur! Bagaimana dengan Abi? "Bagaimana dengan Abi?" "Umi adalah salah satu daripada tulang rusuk Abi. Apabila Abi ditangkap ertinya Umi juga ditangkap sama…. Kenapa?" Kenapa? Umi bertanya mengapa aku bertanya. Lidahku kelu. Keras untuk menjawab tapi jantungku berdenyut kuat. Pedih!
Umi sedang berehat. Kawan-kawan sepejabat Umi dan rakan-rakan seperjuangan Abi sedang berbincang dengan suara separuh berbisik, dibimbangi butiran percakapan mereka mengganggu rehat Umi. Tampak di muka mereka perasaan cemas dan sedih. Kenapa aku tidak seperti mereka pada saat ini? Adakah aku mangsa klon yang saintis lupa untuk ciptakan perasaan kepadaku??
Nur, ingin sekali aku menyuruhmu pulang. Pulanglah Nur! Pulang dan menangislah bersama mereka-mereka itu. Pada saat genting sebegini, aku lebih rela hidup di samping Opah yang berfikiran sempit. Aku lebih rela, Nur!!
Nur, kau adalah nur mata Umi. Sekejap tadi aku mengetahui akannya. Aku pula adalah insan malang mangsa keadaan yang dibenci Umi. Aku tidak sanggup berhadapan dan menerima panahan mata orang yang membenciku lagi. Pernah terniat di hatiku, aku ingin berada di tempatmu ini buat selamanya. Itu adalah ketika aku bersama Deq Ma, Cah Li, Da Zek, Yan-t, Syair Syahdu, dan kawan-kawan kita yang lain. Tetapi apabila bersama dengan Umi, niatku berubah. Lebih-lebih lagi pada saat ini!
Kejamkah aku kerana menikmati nikmat Nur? Zalimkah aku jika aku membocorkan sejarah? Ah, jika aku dikatakan kejam, Umi lebih kejam! Jika aku dikatakan zalim, Abi lebih zalim! Adakah ini merupakan suatu pembalasan kepada Umi dan Abi? Jika ya, hah, rasakan! Tidak..! Ini keluargaku! Aku adalah Nur! Nur adalah aku! Kami adalah orang yang sama! Sama?
Aku membantu Umi bersiap. Umi akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan peguam belanya. Bersungguh Umi ingin mempertahankan Abi. Bukankah Umi pernah berkata ketika di meja makan tempoh hari bahawa Umi tidak akan membiarkan orang yang menceraikan Abi dan Nur daripadanya? Mungkin Umi berpendirian sedemikian setelah dia merasainya ketika masih di dalam pantang 40 hari dahulu. Betulkah tekaanku ini?
Selesai bersiap, aku menghantar Umi ke muka pintu. "Nur, jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa, telefon Umi. Tak pun, Nenek Najihah ada kat sebelah rumah. Jangan ke mana-mana, ya!" Umi meninggalkan pesan. Tentu pesanan ini juga pernah ditinggalkannya kepada engkau Nur, sebelum Umi meninggalkan kau untuk bergelar Hajjah tiga bulan yang lepas. Betapa degilnya engkau Nur! Dan aku juga akan bertindak degil seperti engkau juga, melanggar perintah Umi supaya jangan ke mana-mana. Bukankah kita orang yang sama? Tentu sekali perangai degil kita sama kerana kita adalah orang yang sama. Aku adalah kau dan kau adalah aku. Cuma masa dan insiden yang telah memisahkan kita. Aku bencikan insiden itu!!!!!!! Yang mana satu? Insiden 19 tahun lepas atau insiden 3 bulan lepas? Ah, kedua-duanya!!
Aku menyandarkan tubuh ke tiang stesyen bas. Tiket bas yang baru ku beli sebentar tadi ku lihat sekali lagi. Jam 10 malam. Enam jam lagi!
"Nur!" suara yang pernah ku dengar menyeru namaku. Aku menoleh. "Nur nak ke mana? Umi Nur kat mana?" Ya bertanya. Di belakangnya tercegat Idah dan Bi. "Kalian dari mana?" Aku bertanya tanpa menjawab soalan mereka. "Kita orang pergi shopping tadi. Belikan bahan-bahan untuk malam kesenian kita nantilah. Hei, kan Nur pengarahnya? Oh, ye.. kawan-kawan kita bercadang nak ziarah Nur dan Umi Nur petang esok. Nur nak ke mana ni? Siap dengan beg lagi.." Bi mengulangi soalan yang tidak terjawab itu. "Umi Nur sekarang ni kat KL. Ada urusan dengan peguam Abi tu lah. So, Nur nak balik ke Gombak," aku menjawab. Doaku, moga dengan jawapanku ini mereka tidak akan bertanya lagi. "Balik ke Gombak? Balik?" Mereka saling berpandangan.
"Oh ye! Nur ada surat untuk kawan-kawan kita. Asalnya Nur nak pos." Aku mengeluarkan sepucuk surat dari beg sandangku. Idah menyambut huluran suratku dengan terpinga. Ah, biarkan mereka dengan kebingungan sementara itu!
"Eh, itu pun bas kita! Nur, kita orang balik dulu lah ye". Ya menghulurkan tangan. Aku menyambut. Entah mengapa.. ada suatu perasaan halus yang sukar ditafsirkan datang bertamu menjenguk kalbuku pada saat itu. Adakah ini yang dikatakan manisan persahabatan di atas dasar Islam?
Aku kembali keseorangan setelah mereka bertiga dibawa lari oleh bas yang bertambang 70 sen walau ke mana-mana itu. Buat selamanya, aku kembali keseorangan….
Bas KT - KL sudah tiba. Aku membetulkan beg sandangku. Sebelum meninggalkan bangku tempat dudukku, aku memerhatikan sekeliling. Nur, terima kasih kerana meminjamkan kepadaku nikmatmu. Walaupun sebentar, aku tetap menghargainya. Itulah nikmat yang paling mahal harganya dalam hidupku kerana aku tidak punya kudrat untuk memilikinya sebelum ini. Sayang, aku tidak boleh berlama-lama dengan nikmat itu.
"Nur!" Kakiku yang ingin melangkah tangga bas termati. Teriakan suara Umi kah itu? Ah, Umi memanggil Nur, bukan aku! "Nur!!" suara itu berteriak lagi. Semakin kuat dan hampir kedengarannya. Aku memekakkan telinga. Kakiku terus memanjat tangga.
"Abby!" Aku terkesima. Hatiku berdenyut kuat. Benarkah apa yang aku dengar? Aku menoleh ke belakang. Umi sudah pun berada di belakangku. Ku tentang mata Umi. Matanya kuyu. Layu. Tiada lagi panahan yang mendenyutkan jantungku. Tiada lagi sinar yang mendebarkan hatiku. Jelas tampak di mata itu yang mata itu tidak gembira tatkala bertentangan dengan mata bukan milik Nur! Berbeza!!
Aku menekadkan kembali niatku. Bulat dan tiada seginya. Aku akan kembali ke negeriku. Aku akan kembali! Aku memusingkan tubuhku. "Abby, jangan nak…" suara yang kedengaran separuh berbisik itu menerjah masuk ke gegendang telingaku. Nekadku mula memecah. Bersegi-segi dan hampir lumat. Ku toleh ke belakang. Umi sudah pun terduduk. Lemah. Di tangannya terdapat sepucuk surat yang telah renyuk diramas. Surat yang telah kuserahkan kepada kawan-kawanku!


Assalamualaikum…
Teman-teman Rabi’ Thanawi,
Terima kasih kerana berkawan dan mengambil cakna akan diri saya sebulan kebelakangan ini. Budi kalian amat mahal harganya.
Teman,
Saya ingin berlaku jujur dalam hidup ini. Saya bukan Nur, saya Abby, kembarnya.
Teman,
Kehidupan saya jauh berbeza dengan kehidupan Nur walaupun kami pernah berkongsi segalanya di dalam satu alam. Nur hidup dengan keluarga dalam suasana Islam yang harmoni. Saya tidak. Saya hidup bersama Opah dalam suasana karut yang dipenuhi khurafat.
Sewaktu kami dilahirkan, si tukang tilik peribadi Opah telah memusnahkan hidup saya. Opah mendakwa ingin menyelamatkan saya dari nasib malang saya. Lantaran perebutan itu, Umi melupakan saya. Umi mematikan ingatan terhadap saya. Adakah salah Umi bertindak begitu?
Nur tahu yang dia mempunyai saya melalui Abi. Nur mahu hidup bersama saya tetapi Umi sudah tidak mahu menerima saya. Hatinya sudah tiada untuk saya. Sewaktu Umi berada di Mekah, Nur mengambil kesempatan itu untuk merealisasikan impiannya.
Teman Rabi’ Thanawi,
Bagaimanakah Nur? Adakah dia benar-benar mirip saya? Saya tidak mengenalinya kerana kami tidak pernah bersua muka. Tentu dia seorang budak perempuan yang baik. Jika tidak, masakan Umi dan kalian menyayanginya. Kasih sayang kalian benar-benar menakjubkan saya.
Saya berada bersama Umi dan kalian adalah atas kehendak Abi. Opah arwah tiga bulan yang lepas. Saya terpaksa menurut sebagai tanda terima kasih kepada Nur kerana dia begitu baik terhadap saya, kakak kembarnya ini. Tapi, saya tidak boleh berlama-lama. Ini adalah milik Nur! Saya mahu kembali kepada diri saya yang asal. Biarkanlah tempat Nur itu tidak berganti.
Teman Rabi’ Thanawi,
Tentu kalian rindu akan Nur. Masakan tidak kerana kalian hidup bersamanya hampir tujuh tahun. Saya juga rindu akan Nur. Kami Cuma hidup bersama selama sembilan bulan 10 hari. Teringin juga di hati saya ini ingin menikmati nikmat milik Nur ini bersama-sama dengan Nur. Tetapi sudikah Umi?
Teman Rabi’ Thanawi,
Tahukah kalian, Nur mengalami kemalangan dalam insiden di jalan raya ketika dalam perjalanan ke Gombak mencari saya? Nur bukannya hilang ingatan tetapi sudah arwah!

ABBY


"Miss, bas dah nak bergerak." Konduktor memberi pilihan kepadaku. Aku menoleh sekali lagi ke belakang. Ku pandang kosong ke arah wajah Umi yang mengharap. Walaupun wajahnya itu menampakkan harapannya, matanya tetap kosong. Tiada panahan. Tiada cahaya. Tiada segalanya. Benar tekaanku ketika aku menyambut Umi di airport dulu. Kasihnya hilang setelah mengenali diriku!

Aku memejamkan mata. Kemudian aku mencelikkan mata dan membiarkan bas KT – KL itu meninggalkanku.

TAMAT
Image hosted by Photobucket.com
7:38 PM | Author: Pelaut
gini laa senyuman seorang yang baru pertama kali naik trem. jangan mare Nor. ..
ketika di dalam trem, di Sheffield, rombongan ziarah akhawat pada cuti summer 2004.
Image hosted by Photobucket.com
7:34 PM | Author: Pelaut
assalamualaikum.
11 september 2001.
Tragedi tersebut memberi impak yang besar kepada dunia Islam. Muslim makin teruk dibelasah. Hati melintas kan bisikan , 'Ah, USA adalah ISA. Tanpa bukti sah terus membelasah'.
Masyarakat Eropah juga begitu. Muslimat yang berpegang dengan ajaran agama Islam yang mewajipkan penutupan aurat dipandang serong. Pernah aku dan kawan-kawan muslimat ditertawakan dari jauh ketika kami window shopping di Bridgend pada Summer 2003.
Begitu juga ketika having a walk. Ingin saja aku jeritkan pada mereka "Woi, kami bukan teroris!!!". Ah, tapi mungkin dengan jeritan itu membolehkan aku dinobatkan sebagai teroris...
Image hosted by Photobucket.com
7:16 PM | Author: Pelaut
Buat my ex room mate
Aku masukkan gambar kau sebagai tanda kenangan dan terima kasih. Kenangan satu batch dan sebilik melakari diari harian kita yang telah berlalu. Bukalah lembaran itu tatkala kita memerlukan. Ketahuilah, lawakmu tetap menggelikan hatiku!!! he..he..
Image hosted by Photobucket.com
7:04 PM | Author: Pelaut
Menurut konfusianisme, kesetiaan dan pertalian yang erat merupakan konsep kekeluargaan yang paling penting. Pengabaian terhadap konsep kekeluargaan seperti ini merupakaan penafian hak seseorang dan bertentangan dengan keadilan.

Konsep kekeluargaan dalam pengajaran Islam pula begitu mementingkan kasih sayang dan hormat menghormati. Berdasarkan hakikat tersebut, bukanlah persoalan kedudukan kaum lelaki dan kaum perempuan dalam sesebuah keluarga itu yang menjadi persoalan utama tetapi setiap mereka harus menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam lingkungan kasih sayang dan hormat menghormati.

Petikan daripada: Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Penerbit Universiti Malaya, muka surat 14.